March 9, 2017

Mampukah Majalah Kartun Gila-Gila Gemilang Semula?

Mampukah Majalah Kartun Gila-Gila Gemilang Semula?

February 28, 2017 Abdul Mursyid Zainuddin 16 Views  0 Comments

KUALA LUMPUR — Hampir empat dekad berdiri, Gila-Gila berjaya muncul sebagai majalah humor paling lama bertahan, bukan hanya di Malaysia tetapi di Asia Tenggara.





Meski pernah dicetak 300,000 naskhah di kemuncak kehebatannya pada pertengahan 1980-an, majalah yang diinspirasikan daripada Mad kini bergelut untuk mengekalkan kelangsungannya.



Walau Gila-Gila yang dipimpin kartunis dan pelukis tersohor Jaafar Taib berjaya mengalahkan pencabar terdekatnya Geli Hati, Batu Api dan Ujang, ia kini dicetak tidak sampai 30,000 naskhah.



Ia semacam terperangkap antara mengekalkan identiti lama yang pernah menjulang kejayaannya atau mencari imej baru, bakat baru dan mengembangkan khalayak pembaca.



Diterbitkan sebulan sekali mulai 1 April 1978, sebanyak 9,000 naskhah sehingga edisi kesebelas, Gila-Gila menambah keluaran kepada dua kali sebulan atas permintaan tinggi peminat.



“Saingan [terawal] Gila-Gila majalah Geli Hati pada tahun 1979 sehinggalah majalah itu tutup pada 1998 kerana kegawatan ekonomi,” kata editor barunya Ronasina kepada ProjekMMO.



“Tetapi pertengahan 1980-an muncul Batu Api, saingan yang hampir menyamai Gila-Gila kerana konsep satiranya. Selepas Geli Hati, keluar pula Batu Api pada tahun 1984.”



Pelukis terkenal Jaafar Taib berjaya mendirikan Gila-Gila selama hampir empat dekad walau kini pengaruhnya tidak sehebat 30 tahun lalu. — Foto ihsan Facebook/Jaafar Taib

Pelukis terkenal Jaafar Taib berjaya mendirikan Gila-Gila selama hampir empat dekad walau kini pengaruhnya tidak sehebat 30 tahun lalu. — Foto ihsan Facebook/Jaafar Taib



Namun, dua majalah ini tidak menggugat produk Creative Enterprise itu selama dua dekad sehinggalah muncul Ujang yang membawa satira generasi baru pertengahan 1990-an.



“Ketika Batu Api tutup dan [kartunisnya] pulang semula kepada Gila-Gila, pada itu [kartunis popular] Ujang keluar dan membuka majalah Ujang,” kata Ronasina, nama glamor Mohd Affandi Ramli, baru-baru ini.



“Ujang bukan sahaja jadi pencabar terdekat tapi berjaya mencipta fenomena, menewaskan Gila-Gila hingga dalam tempoh 20 tahun orang lupa konsep satira humor Gila-Gila.”



Keengganan Gila-Gila mengikut trend semasa, sewaktu berdepan lambakan komik Hong Kong dan Jepun dan kemunculan internet, memburukkan lagi prestasi majalah itu.



“Tetapi Gila-Gila kekal sampai sekarang kerana komik ini sendiri yang mempunyai ciri Malaysia dan kemelayuan, tetapi [mengekalkan imej] itu cabaran yang sangat getir,” kata Ronasina, 43, yang mengikuti majalah itu sejak berusia belasan tahun.



Kartunis itu, yang pernah menerbitkan Gedung Kartun bersama Zunar, mengakui bukan mudah mengembalikan kegemilangan Gila-Gila terutama berdepan industri penerbitan yang kian tenat.



“Orang beli Gila-Gila dulu melalui agen [pengedar]. Apabila agen hendak pergi Kelantan, ada banyak majalah dalam satu lori, [tetapi] sekarang operasi dikecilkan sebab banyak majalah tutup.



“Jadi, ia memberi kesan pada pengedaran Gila-Gila, inilah antara kesan trend [industri media cetak] yang berubah kini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangsar Utama di sini.







Berdepan sejumlah masalah ini, walau Gila-Gila masih tegak berdiri, ia sedang menggeluti kemelut mengekalkan ciri asal satira nasional sewaktu dekad 1970-an sudah jauh berbeza daripada sekarang.



“Sekarang ini kita masih belum dapat meyakinkan pembaca baru, yang kita ada [pembaca setia] dalam lingkungan usia 40-an hingga 50-an.



“Sasaran kita, mereka ini membawa Gila-Gila balik rumah dan anak mereka tengok. [Namun] cabarannya, ada jurang generasi, anak muda sekarang sukar kaitkan dengan lawak kita.”



Kurang lebih setengah tahun memimpin majalah tersebut, Ronasina masih mencari-cari bakat baru yang mampu mengekalkan identiti Gila-Gila tetapi dapat menyelami semangat zaman ini.



“Memang kita kena cari juga kartunis muda untuk kekalkan ciri-ciri majalah kita,” katanya, yang sudah berjaya mengesan seorang kartunis muda berusia 25 tahun, setakat ini.



Tinggal lagi dua tahun untuk menyambut ulang tahun ke-40, mampukah majalah ini mengembangkan pengaruhnya di kalangan generasi baru?



Atau, ia akan mengikut jejak majalah-majalah humor yang terpaksa gulung tikar setelah gagal mencabarnya? – MalayMail

No comments :

Post a Comment